|
Mengeratkan Silaturrahim Bersama Keluarga
Thursday, March 12, 2009
Makan Bersama Sekeluarga Keluarga bahagia ialah keluarga yang dapat mewujudkan tradisi makan bersama-sama sekurang-kurangnya sekali seminggu iaitu pada cuti hujung minggu. Malam adalah waktu yang agak sesuai untuk menghadapi makanan secara bersama keluarga kerana semua ahli keluarga di waktu itu telah selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing di dalam bidang pekerjaan dan pelajaran. Makan bersama keluarga boleh mengeratkan lagi rasa kasih sayang antara anggota keluarga. Ibu bapa harus memainkan peranan bagi mewujudkan suasana yang harmoni ketika makan. Inilah di antara kesempatan terbaik untuk ibu bapa berbicara dengan anak-anak dan dapat memberi nasihat, menanam pendidikan dan memupuk kasih sayang dalam keluarga. Sebagai contoh, semasa menghadapi makanan dinasihatkan membaca ‘bismillah’ bagi mendapatkan keberkatan terhadap makanan dan minuman tersebut dan sebagai tanda terima kasih terhadap Allah yang telah memberikan rezeki. Semasa hendak menjamah makanan yang dihidangkan seorang ahli keluarga, bapa atau ibu hendaklah membaca doa ringkas iaitu: Maksudnya: Daripada Abdullah bin Amr, daripada Nabi s.a.w. bahawasanya baginda membaca doa apabila dihidangkan makanan kepada mereka dengan doa yang bermaksud: "Ya Allah berkatilah rezeki yang engkau berikan kepada kami dan jauhkanlah kami daripada azab api neraka, dengan nama Allah". (Riwayat Abu Bakar ibn as-Sunni) Semasa makan bersama keluarga, anak-anak hendaklah diperingatkan supaya tidak memulakan makan atau minum kecuali setelah dimulakan oleh ibu bapa atau orang yang lebih tua. Begitulah juga adab di dalam satu-satu majlis makan yang lain. Ini adalah bertepatan dengan hadith Nabi s.a.w. yang menyebut: Maksudnya: Daripada Huzaifah r.a. katanya: “Apabila kami bersama-sama Rasulullah s.a.w. menghadapi makanan, kami tidak menghulurkan tangan sehingga Baginda memulakan menjamah makanan tersebut terlebih dahulu.” (Riwayat Muslim) Ibu bapa juga adalah bertanggungjawab untuk sentiasa mendisiplinkan anak-anak sewaktu makan dengan tidak banyak bercakap tentang perkara-perkara yang tidak berfaedah, melarang makan di tempat-tempat yang tidak sesuai seperti di ruang tamu, di hadapan TV dan di dalam bilik tidur. Memulakan makanan dari sebelah kanan, makan dengan tidak gelojoh dan lain-lain. |
About Me
Suzie · Life
Talks
Archives
|